Islam.

ISLAM SUDAH LAMA DI TANAH MELAYU

Jika diteliti dari aspek sistem tulisan Jawi dipahat pada permukaan batu itu secara umumnya, ialah tradisi Melayu berikutan sudah berlaku penghilangan baris, wujudnya huruf untuk disesuaikan dengan lidah Melayu dan beberapa penggunaan huruf vokal yang mencirikan unsur Melayu sejati walaupun kadang kala tidak konsisten disebabkan ada sistem campuran Arab.

Perkembangan tulisan Jawi itu membuktikan masyarakat Terengganu pada masa itu sudah menguasai sistem tulisan berasaskan huruf Arab seperti dalam al-Quran dan dibuat penyesuaian sebagai medium perantaraan untuk menyampaikan ajaran Islam ketika itu.

Dari sudut bahasa, istilah dalam Batu Bersurat Terengganu meliputi tiga istilah, iaitu Melayu, Arab dan Sanskrit. Walaupun jumlah istilah Sanskrit lebih banyak berbanding ungkapan Melayu dan Arab, perlu ditekankan kewujudan istilah Sanskrit ini tidak mencerminkan pandangan alam atau konsep pemikiran masyarakat Melayu Terengganu kerana sudah berlaku proses Islamisasi terhadap istilah berkenaan.

Sebagai contoh, Prof al-Attas menegaskan istilah ‘Dewata Mulia Raya’ merujuk kepada Rabb al-‘Alamin yang bermaksud ‘Tuhan Sekalian Alam’ seperti yang ada pada Batu Bersurat Terengganu. Begitu juga istilah Sanskrit yang kekal kita gunakan hingga kini seperti sembahyang, syurga dan neraka adalah bertepatan dengan konsep penyesuaian makna sesuatu istilah dengan agama yang baru dianuti, iaitu Islam.

Seterusnya, penetapan tarikh dalam setiap sumber sejarah menjadi elemen penting, sama ada sumber sejarah berbentuk naskhah seperti manuskrip yang ditulis pada bahagian kolofon atau sumber berbentuk batu yang lazimnya menggunakan pengiraan bulan dan tahun mengikut kalendar Islam.

Merujuk kepada Batu Bersurat Terengganu, tarikh yang tepat ialah pada hari Jumaat 4 Rejab 702H/1303M yang dihitung Prof al-Attas berasaskan rujukan kepada kalendar Islam dengan hujah rasional dan logik serta dibuktikan secara saintifik menggunakan perisian astronomi moden.

Istilah Arab

Menariknya, Batu Bersurat Terengganu mempunyai istilah Arab, iaitu ‘sharatan’ yang merujuk kepada dua bintang dalam buruj Aries atau Ram yang membuktikan masyarakat pada masa itu sudah mempunyai pengetahuan dan menguasai ilmu falak seperti pencapaian awal dalam sejarah dan tamadun Islam terdahulu.

Namun, sekiranya ada sarjana tertentu yang mengemukakan tarikh baharu berdasarkan pengiraan selain kalendar Islam, maka ia perlu mendatangkan sumber sezaman yang berupa inskripsi lain bagi melakukan analisis perbandingan, menyokong dan membuktikannya agar sesuatu fakta itu konkrit akan kewujudan penggunaan kalendar berkenaan secara meluas.

Ciri terakhir penting untuk mengesahkan pengaruh terbesar Islam ialah isi kandungan yang mengandungi bukti peneguhan dan pelaksanaan syariat Islam. Isi kandungannya menerangkan hukum fiqh seperti jenayah, muamalah dan munakahat (perkahwinan) yang bukannya perkara asas rukun dalam Islam.

Hukum itu jelas menunjukkan masyarakat Terengganu pada masa itu sudah lama beragama Islam dan menguasai keilmuan Islam pada tahap tinggi.

Kesimpulan, prasasti Batu Bersurat Terengganu ialah sumber sejarah Islam terawal membuktikan daerah Kuala Berang menerima Islam sebagai agama rasmi. Kepentingan Batu Bersurat Terengganu sebagai sumber sejarah secara umumnya dapat membina semula sejarah peradaban Melayu dan memberi kefahaman jitu terhadap pemikiran sejarah masyarakat Melayu berasaskan konsep peradaban Melayu adalah peradaban Islam.

Ada sesetengah sejarawan masih terperangkap dan sering mengangkat peradaban Melayu dari kaca mata zaman klasik seolah-olah masih terpesona dengan konsep ‘greater India’ yang dipelopori orientalis Barat terdahulu walaupun tidak dinafikan sumbangan mereka membuka laluan pengkajian sejarah di negara ini.

Oleh itu, sejarawan terlatih beragama Islam perlu meneliti kembali sumber, mempersoal setiap keraguan dan kesimpulan yang tidak tepat serta berusaha membina pandangan alam yang lebih memberi makna terhadap peradaban Melayu Islam, di samping mendidik masyarakat mengenal jati diri Melayu Islam sebenar.

Cc Berita Harian Online

Misi ReBRANDing SEJARAH & AKHIR ZAMAN by @izzuddin.al.jitrawiy
.
#melayu #tanahmelayu #berdaulat #malaysia #sejarahmelayu #sejarah #sejarahmisteri #kiamat #remaja #izzuddinaljitrawiy #ilmuakhirzaman #hangtuah #trending #eskatologi #viral #global #sebarkan #anakmuda #belia #jomrepost #jomsebar #jomshare #jomkongsi

Leave a Comment